KUCHING, 13 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) giat membuat persiapan bagi memastikan sesi persekolahan 2026 dapat dimulakan pada Januari tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah utama termasuk memastikan tempoh persekolahan mematuhi Akta Pendidikan dengan 190 hari persekolahan setahun.
“SPM juga akan bermula sedikit awal, tetapi persiapannya akan selesai sebelum Krismas. Kami juga mengambil kira semua cuti serta komitmen KPM bagi memastikan sesi persekolahan 2026 dapat dimulakan pada Januari,” katanya.
Beliau berkata, persediaan yang dibuat telah mencapai tahap yang membolehkan sesi persekolahan dibuka seperti dirancang.
Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak di sini, hari ini.