KUALA LUMPUR, 11 November- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti cadangan untuk menubuhkan Kolej Tingkatan Enam Premium melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata usaha tersebut merupakan komitmen berterusan untuk memperkasa dan menjadikan tingkatan enam sebagai laluan utama pendidikan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian.
"KPM sentiasa menambah baik sistem sedia ada bagi memastikan kelestarian pendidikan tingkatan enam. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf setara dengan A-Level dan mendapat pengiktirafan daripada University of Cambridge, salah sebuah universiti terulung dunia.
"Lepasan STPM dengan keputusan cemerlang yang memenuhi syarat juga layak memohon pelbagai biasiswa, termasuk di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), serta biasiswa lain daripada agensi kerajaan," katanya semasa sesi Dewan Rakyat hari ini.
Koh menambah bahawa KPM sedang melakukan perubahan pada sistem persekolahan dan pentaksiran Tingkatan Enam dengan memperkenalkan sistem modular, yang mana kandungan silibus dibahagikan kepada tiga semester.
Sehingga tahun 2024, sebanyak 27 buah Kolej Tingkatan Enam telah beroperasi di seluruh negara, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 635 pusat pendidikan di seluruh negara.