KPM buat persiapan maksimum urus kemasukan murid 6 tahun ke Tahun Satu

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek/Foto BERNAMA

NIBONG TEBAL, 8 Februari – Kementerian Pendidikan menjangkakan sambutan memberangsangkan bagi pendaftaran kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu, khususnya di kawasan bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan maksimum dilaksanakan selepas maklum balas positif ibu bapa terhadap pendaftaran murid enam tahun ke Tahun Satu.
  • Latihan dan pengambilan 20,000 guru dijalankan untuk memenuhi keperluan pengajaran dan peningkatan bilangan pelajar.
  • Kapasiti bilik darjah dioptimumkan dengan penambahan kelas baharu menggunakan Sistem Binaan Berindustri.
  • Pemetaan kawasan sekolah dilaksanakan segera untuk penambahbaikan fasiliti dan pengurusan pertambahan pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata persiapan maksimum sedang dilaksanakan berdasarkan maklum balas awal ibu bapa yang menyambut baik inisiatif berkenaan.

Persiapan itu termasuk tumpuan terhadap latihan serta pengambilan 20,000 guru bagi memenuhi keperluan semasa.

Selain itu, kapasiti bilik darjah turut dioptimumkan termasuk penambahan kelas baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Persiapan kita adalah pada tahap maksimum. Kita menjangkakan sambutan hangat berdasarkan respons yang diterima dan kini memberi tumpuan kepada pemetaan kawasan sekolah untuk segera melakukan penambahbaikan, khususnya dari segi fasiliti dan kapasiti.

“Kita juga mengoptimumkan kawasan yang dijangka menerima pertambahan pelajar pada tahun hadapan dan ketika ini semua persiapan tertumpu ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Semarak Sejahtera Warga Emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Acheh, di sini.