
GEORGE TOWN, 17 Januari– Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited akan memastikan kesemua 34 projek sakit melibatkan perumahan di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) siap sepenuhnya, menjelang Mac depan.
- KPKT dan PR1MA komited menyiapkan 34 projek PR1MA sepenuhnya menjelang Mac depan dengan penyerahan kunci kepada pemilik.
- Projek yang siap akan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan serta menandakan tiada lagi projek sakit PR1MA.
- Penerima gembira; projek menawarkan unit mampu milik, kemudahan lengkap dan proses permohonan dilaporkan mudah serta cepat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata kesemua projek tersebut mampu diselesaikan hasil komitmen berterusan PR1MA bersama kementerian.
Beliau berkata pencapaian itu menjadi permulaan baharu bagi sektor perumahan negara ke arah pembangunan yang lebih berdaya tahan.
“Menjelang Hari Raya pada bulan Mac ini, kesemua 34 projek sakit PR1MA dijangka siap 100 peratus, memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), serta diserahkan kunci kepada pemilik.”
“Dengan itu, tiada lagi projek sakit PR1MA dan keadaan ini membolehkan tahun 2026 dimulakan dengan permulaan yang lebih cerah dan positif,” kata Kor Ming kepada pemberita, hari ini.
Beliau berucap demikian semasa Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Mampu Milik Ideal Venice Residency, di sini.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ideal Property Group, Tan Sri Alex Ooi.
Sementara itu, penerima projek perumahan meluahkan rasa terharu apabila menerima kunci rumah yang telah lama diimpikan, selain menyifatkan proses permohonan adalah mudah.
“Saya berasa sangat gembira kerana rumah ini telah lama saya nantikan, hampir beberapa tahun. Akhirnya impian itu menjadi kenyataan dan saya amat teruja dengan peluang ini. Saya menunggu sekitar lima hingga enam tahun untuk memiliki rumah ini,” kata Aida Yasmin Ahmad Azmi.
“Saya memohon melalui Lembaga Perumahan pada tahun 2022 dan menerima surat tawaran kira-kira dua bulan lalu. Prosesnya agak cepat. Selepas menerima tawaran, saya terus menjalani proses cabutan undi dan semuanya selesai. Saya sangat teruja dan dimaklumkan kunci rumah akan diterima dalam tempoh dua minggu,” kata Iman Khalida Anuar.
“Saya amat bersyukur kerana berpeluang memiliki rumah di projek yang sangat indah ini. Saya telah lama menunggu untuk mendapatkan rumah di sini kerana tertarik dengan konsep dan tema Ideal Venice Residency sejak ia dilancarkan. Alhamdulillah, akhirnya impian saya menjadi kenyataan,” kata S. Kahmeni.
Projek perumahan tersebut menawarkan 1,633 unit kediaman berkonsepkan kondominium pada harga RM300,000 seunit dengan keluasan 850 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur,dua bilik air serta balkoni peribadi.
Antara kemudahan yang disediakan ialah kolam renang, pavilion BBQ, gimnasium dan ruang santai keluarga.