KUALA LUMPUR, 20 Jun - Cadangan untuk menubuhkan agensi sekuriti makanan negara sedang diteliti dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.
Katanya, bagi merealisasikan hasrat tersebut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu melihat secara holisitik yang akan memberi implikasi kepada perundangan, kewangan, sumber manusia dan penyelarasan semula fungsi antara kementerian.
"Idea penubuhan agensi itu dicetuskan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) awal tahun ini, sebagai salah satu inisiatif mengurangkan kos sara hidup rakyat.
"Kajian awal KPKM mendapati penubuhan agensi sekuriti makanan negara hendaklah dilihat secara holistik merangkumi empat aspek utama iaitu elemen ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan pemakanan serta kestabilan dan kemampanan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Tambah beliau, KPKM turut melaksanakan infrastruktur yang moden dan cekap, memberikan insentif, sokongan dalam bentuk nasihat dan teknikal kepada pengeluar makanan.
Katanya ia sebagai satu usaha dan komited kerajaan dalam memastikan sistem makanan negara mantap dan berfungsi dengan cekap dan produktif.
Selain itu, geran, dana pembiayaan, pengecualian cukai, subsidi dan akses pasaran serta padanan perniagaan, juga diberikan kepada pihak pengeluar makanan.
Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk menubuhkan Agensi Makanan Malaysia dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional.
(Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin)