(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bersama warga kerja KKD pada majlis Perhimpunan Bulanan KKD di Putrajaya/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 20 Jun- Keyakinan pelabur kepada Malaysia bakal mendorong lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini, khususnya dalam sektor teknologi digital.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memaklumkan keyakinan itu dizahirkan para pelabur ketika lawatan kerja sempena Minggu Teknologi London (LTW) 2023 baru-baru ini.
(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil/BERNAMA)
"Kita meninggalkan satu perasaan yang sangat positif dalam kalangan pelabur, yang mana mereka merasakan dengan hala tuju dan kestabilan Politik dan juga Malaysia sekarang untuk menjadi salah satu pusat tumpuan bagi pelaburan. Maka, mereka ada keyakinan tambahan.
"Insya-Allah, tidak mustahil dalam masa tidak berapa lama dari sekarang kita akan dapat menyaksikan lebih banyak pelaburan masuk ke dalam negara. Malah saya telah dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan oleh British Malaysia Chamber of Commerce pada hujung minggu ini. Ini memberi satu petanda bahawa usaha kita dan juga agensi-agensi telah membuahkan hasil", katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya.
Beliau juga menyeru agensi dan jabatan di bawah KKD untuk tidak bekerja secara silo, sebaliknya perlu saling bekerjasama mengetengahkan produk digital atau industri kreatif yang bertepatan di forum antarabangsa seperti LTW tahun depan.
Pada LTW 2023 dari 12 hingga 16 jun lalu Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan bernilai RM8.3 bilion dalam pelbagai sektor teknologi digital.