fb fb fb fb fb

KPKM: Beras rosak, tidak sesuai serta tidak selamat untuk di makan

Pegawai bertugas memeriksa beras yang dibuat di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur- Gunung Senyum di Temerloh baru-baru ini

KUALA LUMPUR, 19 April - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan beras yang dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan.

KPKM menerusi kenyataan hari ini berkata, ia berdasarkan hasil penemuan awal Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Temerloh ke lokasi penemuan makanan asas tersebut.

“KPKM memandang serius akan isu tular yang berlaku dan telah mengambil langkah segera dengan menjalankan siasatan melalui KPB cawangan Temerloh di lapangan.

“Turut hadir ke lokasi ialah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, lokasi kejadian tersebut berlaku di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur - Gunung Senyum, Kuala Krau.

"Untuk Untuk makluman semua pihak, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah merujuk kepada KPB KPKM," katanya.

Susulan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana perkara berkenaan masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Sebelum ini, tular satu rakaman video yang memaparkan puluhan kampit beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah berdekatan laluan berkenaan.

Video itu menjadi perhatian apabila ia dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN