fb fb fb fb fb

KPDNHEP pantau harga dan bekalan tepung gandum

KUALA LUMPUR, 17 Mei- Tindakan negara India menarik balik eksport gandum ke negara luar tidak menjejaskan bekalan produk berasaskan gandum di negara ini.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa mengambil langkah serius memantau serta memastikan bekalan khususnya tepung gandum tidak terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dakwaan mengenai kenaikan harga tepung gandum di beberapa negeri juga sedang disiasat.


(GAMBAR FAIL)

"Kalau ada kenaikan harga ini saya difahamkan tidak ada kaitan dengan gandum daripada India. Kita tidak mengimport daripada India, sikit sahaja, yang kita banyak import daripada US, United Kingdom dan dengan negara lain. Jadi tak ada beri kesan secara 'volumenya'," katanya.

Alexander ditemui dalam sidang media pada Majlis Salam Aidilfitri 2022 anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berlangsung di Anjung Sentral, Menara SSM@Sentral, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, beliau meluangkan masa beramah mesra dengan warga kerja SSM serta pihak berkepentingan terdiri daripada wakil-wakil agensi, badan profesional, persatuan yang diiktiraf, badan berkanun dan sektor korporat.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid yang turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 orang anak yatim dari Rumah Titian Kaseh.

Turut disampaikan, wakalah zakat korporat SSM kepada Rumah Titian Kaseh bernilai RM5,000.

Dalam perkembangan lain, Alexander memaklumkan kaedah baharu bagi mengenal pasti barangan bersubsidi bakal dilancarkan Khamis ini.

Langkah tersebut katanya bukan sahaja bagi memudahkan pengguna membezakan barangan bersubsidi tetapi juga dapat mengelakkan penyelewengan harga sewenang-wenangnya.

"Pek minyak masak pun sama,yang lain-lain yang ada subsidi kerajaan, ia menggunakan logo itu untuk memudahkan pengguna mengenal pasti mana yang bersubsidi, mana yang tidak bersubsidi," ujarnya lagi.

Media Baharu