PAPAR, 8 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pelaksanaan Program Servis Ihsan Madani@Petronas Auto Expert (SIM@PAX) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.
SIM@PAX merupakan inisiatif baharu kerajaan menerusi agenda Payung Rahmah MADANI, yang bermula pada 24 Januari, bersempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, memberitahu bahawa program kerjasama strategik antara KPDN dan Petronas itu menyasarkan golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi cabaran kos sara hidup melalui penjimatan kos penyelenggaraan kenderaan.
"Melalui program SIM@PAX ini yang melibatkan kerjasama sektor korporat bersama kerajaan, khususnya KPDN, kami menawarkan servis kenderaan dengan diskaun antara 10 hingga 30 peratus di semua premis Petronas Auto Expert.
"Terdapat 96 premis di seluruh negara. Untuk program ini, di Sabah terdapat lima premis yang terlibat sepanjang tempoh musim perayaan Aidilfitri ini yang menggunakan minyak pelincir jenis mineral dan semisintetik", katanya.
Beliau ditemui media selepas Program SIM@PAX dan Program Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Papar.
Memandangkan sambutan yang menggalakkan serta manfaat daripada program ini, pelaksanaan SIM@PAX bagi perayaan kali ini dipeluaskan dengan menawarkan perkhidmatan servis kenderaan serta minyak pelincir untuk kenderaan diesel.
Peluasan penggunaan minyak pelincir diesel ini bertujuan membantu pengguna kenderaan diesel, khususnya di Sabah dan Sarawak, agar pengguna turut menikmati manfaat program ini. Ia juga bagi membantu peniaga kecil yang menggunakan kenderaan jenis enjin diesel sebagai kenderaan utama.
SIM@PAX Hari Raya Aidilfitri 2025 berlangsung selama 15 hari, bermula dari 15 hingga 29 Mac ini.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.mymesra.com.my untuk membuat tempahan janji temu servis kenderaan melalui aplikasi Setel.
Dalam program yang sama, Program Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas pula menyaksikan sumbangan pemberian tong Gas Petronas kepada 100 peniaga Bazar Ramadan Tapak Tamu Mingguan Papar, termasuk sumbangan penukaran silinder Gas Petronas secara percuma sebanyak dua kali kepada penjaja terlibat.