KUANTAN, 2 Ogos- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan inisiatif Baja Rahmah di bawah program Payung Rahmah.
Inisiatif berkenaan adalah susulan rungutan daripada petani berkaitan kenaikan harga baja di pasaran, yang memberi kesan kepada harga hasil sayuran.
Timbalan Menterinya, Senator Fuziah Salleh berkata, beberapa siri libat urus mengenainya telah diadakan bersama pemain industri terlibat.
"Kita mendapat maklumat kadang-kala harga sayuran tinggi disebabkan harga baja. saya sendiri sedang membuat libat urus dengan syarikat syarikat yang boleh mengeluarkan baja yang baik harga yang bagus.
"Inilah maksudnya baja rahmah dan Insya-Allah libat urus telah sampai ke penghujung tidak lama lagi dan akan diumumkan", katanya ketika melancarkan Inisiatif Payung Rahmah Pantai
Selamat Group di sini.
Menurutnya, inisiatif tersebut turut meliputi semua jenis baja, sama ada untuk kegunaan di ladang sawit atau tanaman sayuran, termasuk baja fertigasi.
KPDN dalam pada itu turut mengajak lebih ramai pemain industri sama ada pasaraya, pemborong dan peruncit, untuk bersama menjayakan usaha ini bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
(FOTO FB freshchoicetamantas)