fb fb fb fb fb

IKBN Perlis, pilihan belia belajar TVET

KUALA PERLIS, 2 Ogos- Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis yang menyediakan tujuh bidang pengajian, kini menjadi destinasi pilihan dalam kalangan belia lepasan SPM bagi mengikuti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Bagi kemasukan baharu pada 14 Ogos 2023, seramai 270 belia dari seluruh negara telah memilih untuk mengikuti pengajian di IKBN Kuala Perlis.

Menurut Pengarah IKBN Kuala Perlis, Zaliha Abu Bakar, kemasukan pelajar ke IKBN Kuala Perlis kali ini adalah di luar jangka dimana pihaknya menyasarkan hanya sekitar 200 pelajar baharu.

Antara kursus ditawarkan ialah Teknologi Marin, Teknologi Automotif, Penyelenggaraan Kenderaan Perdagangan, Penyelenggaraan Kereta, Penyelenggaraan Jentera Berat dan Semburan Cat, Kejuruteraan Awam bagi Lukisan Seni Bina dan Scaffolding.

IKBN Kuala Perlis satu-satunya IKBN yang menawarkan kursus Teknologi Marin, dengan menyediakan platform digital sepenuhnya seiring perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 kepada pelajar.

"Kita melihat kadar pengambilannya meningkat. Insya-Allah, mungkin juga ini adalah sokongan daripada kerajaan pusat. Kalau kita lihat promosi TVET ini giat disiarkan menerusi laman media sosial sekali gus memaparkan kelebihan memilih laluan ini.

Jadi, sokongan kerajaan pusat ini memainkan peranan penting terhadap pengambilan kali ini dan membantu membuka mata anak-anak muda dan para ibu bapa, kelebihan TVET," kata Zaliha kepada pemberita pada Program Gaya Hidup Sihat di perkarangan Muzium Kota Kayang.


(Pengarah IKBN Kuala Perlis, Zaliha Abu Bakar)

Tambahnya, penyediaan pelbagai kemudahan terkini dilihat mampu melahirkan tenaga mahir berkemahiran tinggi.

Di samping itu, kerjasama strategik bersama 12 syarikat ternama bagi latihan industri dan penempatan pekerjaan membolehkan kebolehpasaran graduan mencapai 100 peratus.

Media Baharu