SEREMBAN, 21 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah melaksanakan lapan kes sitaan bernilai RM300,000 menerusi Operasi Kita Gempur.
Operasi yang dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan lain itu diadakan berikutan adanya aduan daripda beberapa pemilik cap dagang mengenai wujudnya penjualan barangan tiruan cap dagang mereka di bazar Aidilfitri terbabit.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir bin Mazlan berkata, sitaan tersebut melibatkan penjualan barangan tiruan seperti pakaian dan kasut berjenama terkenal.
"Hari ini KPDN Negeri Sembilan bersama rakan-rakan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk juga Wakil Cap Dagang melaksanakan Ops Kita Gempur 2025 Barang Tiruan. Hari ini KPDN menyerbu dan melaksanakan operasi Omnipresence di Bazaar Aidilfitri Bandar Senawang.
"Seperti yang dapat kita lihat pada hari ini, ada beberapa jenama yang kita ambil tindakan untuk sitaan terutamanya berkaitan dengan Akta Cap Dagang 2019 kerana menjual, mempamer barang-barang yang bukan tertakluk bawah Akta Cap Dagang 2019," kata Muhammad Zahir.
Sempena Tahun Penguatkuasaan Kita Gempur KPDN 2025, beliau turut menasihatkan para peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan dan juga undang-undang agar tidak dikenakan kompaun atau denda mengikut akta yang berkaitan.
Operasi melibatkan 66 orang penguat kuasa KPDN dari Ibu Pejabat Seremban, cawangan Port Dickson dan Kuala Pilah itu telah diketuai oleh Ketua Unit Serbuan dan Taktikal KPDN, Pegawai Penguatkuasa Mohd Shahril Wazir.