fb fb fb fb fb

KPDN lancar Kempen Jalur Gemilang Kluster Industri di Papar

Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Kluster Industri sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Stesen Minyak Petronas, Papar

PAPAR, 24 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Kempen Jalur Gemilang Kluster Industri sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Stesen Minyak Petronas, Papar.

Kempen tersebut melibatkan 4,320 premis seliaan KPDN di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia sebahagian daripada inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang yang diselaraskan oleh Jabatan Penerangan Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi.

“KPDN mengambil peranan untuk membantu menggerakkan agenda nasional ini yang diselaraskan oleh Jabatan Penerangan. Pada masa sama, atas semangat patriotisme dan cinta tanah air, hari ini saya turut melancarkan Kempen Love Local anjuran Petronas yang berlangsung dari 25 Ogos hingga 30 September 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen berkenaan di Papar.

Sementara itu, mengulas mengenai kes pemasangan Jalur Gemilang secara salah, Datuk Armizan menegaskan tindakan undang-undang wajar diambil sekiranya ia dilakukan dengan sengaja.

“Kita sudah ada punca kuasa perundangan yang jelas untuk memastikan panji-panji negara dihormati. Jika berlaku insiden pemasangan bendera yang tidak betul, laporan boleh dibuat dan pihak berkuasa akan menjalankan siasatan. Jika terbukti disengajakan, tindakan tegas akan diambil,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga sebagai simbol kebersamaan rakyat Malaysia, selain bukti semangat patriotisme dan cinta kepada tanah air.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE