ALOR SETAR, 23 Disember-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah akan menempatkan pegawai untuk melakukan penyamaran di premis perniagaan sepanjang Skim Harga Maksimun Musim perayaan (SHMMP) 2024 sempena Krismas.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata langkah berkenaan bertujuan membendung salah laku peniaga daripada menaikkan harga sesuka hati serta menyorok barang kawalan ketika musim perayaan.
Menurutnya,lebih 180 pegawai penguat kuasa akan ditugaskan di lokasi seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah untuk melakukan pemeriksaan.
"Melalui Ops Kita Gempur kita akan sentiasa melakukan pemeriksaan rutin dan pemeriksaan dan mengejut dengan anggota-anggota yang ada di setiap cawangan. Kita akan pastikan bekalan sentiasa mencukupi di Kedah", katanya demikian kepada media selepas merasmikan Program Jualan RAHMAH MADANI, bersempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas Negeri Kedah 2024 di sebuah pasaraya di sini.
KPDN Kedah mengadakan Jualan Rahmah Madani membabitkan 35 item barangan keperluan asas di Pasaraya itu selama dua hari bermula hari ini.