(Datuk Seri Salahuddin Ayub beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah
Aidilfitri 2023 Parti Amanah hari ini/ Foto BERNAMA)
GEORGE TOWN, 7 Mei - Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mencari jalan penyelesaian dalam isu kekurangan bekalan gula ketika sambutan Aidilfitri di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya sedang memperhalusi perkara itu agar ia tidak berulang pada masa akan datang.
Menerusi Ops Manis, masalah tersebut dapat diatasi dengan kadar segera sehingga mampu menampung sejumlah 36 peratus bekalan gula di negeri Kelantan, walaupun permintaan agak tinggi ketika sambutan Aidilfitri.
"Namun begitu saya tidak berpuas hati tentang beberapa alasan diberikan terutama, ada katanya isu cuti raya, saya mahu di masa akan datang, libat urus yang lebih serius, akan saya ambil di bawah bagi pihak KPDN dengan pemain-pemain industri, seperti MSN dan juga CSR supaya ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,"
(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika
ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri 2023 Parti Amanah hari ini
/Foto BERNAMA)
Beliau berkata demikian selepas Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri 2023 anjuran Parti Amanah di Teluk Kumbar, di sini.
Ops Manis adalah serampang dua mata bagi memulihkan gangguan bekalan gula di setiap lapisan rantaian pembekalan serta memastikan tidak berlaku pembelian panik.
Dalam pada itu, Salahuddin menjelaskan isu gangguan bekalan gula kini semakin pulih dan pemborong-pemborong di Kelantan dan Terengganu telah menerima bekalan daripada pengilang secara berperingkat untuk diedarkan kepada pemborong dan peruncit di negeri masing-masing.