MACHANG, 7 Mei- Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan sentiasa berbincang dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi membantu menyampaikan info kepada pelajar, berkaitan fenomena El-Nino.
Pengarahnya, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata ia bertujuan mengenal pasti kaedah bersesuaian untuk dilaksanakan.
Paling penting memastikan pelajar serta masyarakat mendapat maklumat tepat dan sahih.
Jelas beliau, perkara itu dibincangkan dari semasa ke semasa bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan daerah.
Banyak kempen kesedaran juga sudah digerakkan untuk memastikan masyarakat sedar akan risiko cuaca panas yang sedang berlaku.
"Sekarang ini JaPEN bekerjasama rapat dengan pihak JPN, kita akan tengok dalam konteks mana yang boleh kita bantu.
"Tentu sekali kita dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan juga daerah...perkara ini dibincangkan dari semasa ke semasa dan tentu sekali JPN dan PPD terlibat sama mengenai perkara ini kerana ia memerlukan kerjasama secara bersama," katanya.
(Pengarah JaPEN Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor)
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Demokrasi Kita@Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2023, di sini.
Tambah Muhd Nor Aswadi, selain kempen turun ke lapangan, pihaknya juga menggerakkan unit penerangan ke setiap daerah di negeri itu.
Ia antara cara menyampaikan maklumat kepada penduduk setempat.