ALOR SETAR, 8 Januari-Seorang kontraktor maut manakala isterinya cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 37.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan malam tadi (Selasa).
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad menerusi kenyataan berkata mangsa yang merupakan pemandu kereta berusia 50 tahun disahkan maut di lokasi kejadian, manakala isterinya dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana cedera di dada dan belakang badan.
Katanya kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari Kepala Batas ke Alor Setar melanggar belakang sebuah kenderan serba guna MPV yanga sedang menuju arah yang sama.
Akibat perlanggaran tersebut, kedua- dua kenderaan terbabas ke kiri dan kanan jalan sebelum kereta mangsa dilanggar oleh sebuah treler pada laluan yang sama.
Tiga mangsa lain yang menaiki MPV serta pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Jitra Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Bustan Karudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9:26 malam tadi.
Katanya pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal oleh Pegawai perubatan di lokasi kejadian.