KUALA LUMPUR, 2 Jun - Syarikat konglomerat disaran untuk memanfaatkan keuntungan dengan menyokong pembangunan pelbagai industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata seperti mana sokongan terhadap bidang-bidang lain termasuk pendidikan, syarikat-syarikat besar itu juga perlu mengambil peluang sama bagi memajukan industri seni, sastera dan budaya.

“Seperti mana saya gesa, ada usaha dalam pelbagai bidang pendidikan, seni, teater untuk mendokong. Kalau kita ada 30 konglomerat beri sokongan dalam pelbagai bidang, itu akan memperkayakan seni, sastera, budaya serta pendidikan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? di Muzium Kesenian Islam, di sini.
Hadir sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Yayasan Al Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Syed Al Bukhary.
Mengulas mengenai pameran tersebut, Anwar berkata pameran yang dianjurkan oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia ini adalah antara yang terbesar di dunia.
Justeru, beliau berharap masyarakat mengambil peluang untuk mengunjungi pameran tersebut.
“Mungkin ramai tidak tahu tentang pameran ini, ia agak unik kerana belum dapat dihebahkan dan dipersembahkan di mana-mana dunia melainkan di muzium London, itu pun pada skala kecil. Skala besar, ini yang pertama yang pernah diadakan di dunia.
“Jadi sewajarnya masyarakat menggunakan peluang ini kerana kalau di tempat lain, kosnya terlalu tinggi,” katanya.
Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? merupakan sebuah kisah mengenai hubungan antara Eropah, Amerika dengan dunia Timur yang telah diterokai oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia sejak 15 tahun lalu.