(Keakraban itu disaksikan ketika majlis perasmian Pameran Seni Lukis Timur di
Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 2 Jun- Hari ini tokoh perniagaan terkenal dan berpengaruh, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, muncul dalam suasana mesra bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih menarik perhatian, apabila hubungan mereka seakrab abang dan adik.
Keakraban itu disaksikan ketika majlis perasmian Pameran Seni Lukis Timur di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur.
Semasa menyampaikan ucapan, tokoh perniagaan itu beberapa kali merujuk Anwar sebagai "abang".
Manakala Anwar ketika menyampaikan ucapan perasmian menganggap Syed Mokhtar sebagai tokoh yang sangat baik hati walau berdepan beberapa tindakan tegas daripada kerajaan.
"Saya agak tegas dengan beliau, namun beliau sangat baik hati merujuk saya sebagai abangnya. Sebelum ini saya amat tegas terhadap BERNAS. Apabila saya hubungi beliau berkaitan pesawah padi kerana peranan beliau (dalam BERNAS), saya amat prihatin dan gusar dengan tahap kemiskinan pesawah.
"Hanya selepas beberapa hari mengambil alih kerajaan, saya hubungi Syed dengan merujuk diri saya sebagai abang membuat cadangan agar BERNAS melakukan sesuatu bersama kerajaan Madani untuk membantu pesawah miskin. Jadi beliau bersetuju untuk memberi RM10 Juta pada Disember 2022 dan pada 2023 RM50 juta kepada pesawah," kata Anwar kepada media di majlis perasmian Pameran Seni Lukis Timur di Muzium Kesenian Islam, di sini.
"Beliau umpama abang kepada saya dan banyak ahli perniagaan lain, berjaya menyelesaikan banyak isu dalam menjadikan Malaysia negara yang lebih baik. Jika bukan kerana abang, saya tidak akan berdiri di sini dan memiliki muzium ini. Jika bukan kerana abang juga, tidak akan ada muzium ini dan Universiti Albukhary yang menjadi tunjang kepada Yayasan Albukhary.
"Apa yang saya tahu, abang adalah seorang pemimpin yang yakin dalam kepelbagaian komuniti Malaysia. Beliau seorang pemimpin Melayu yang menerajui negara pelbagai budaya dengan rasa cinta. Beliau mencipta peluang dan mengorak perubahan untuk masa depan yang lebih baik," kata Syed Mokhtar.
(Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berucap pada Majlis Perasmian Pameran 'Orientalism Paintings'
di Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur/BERNAMA)