
IPOH, 4 April – Kawalan harga barangan keperluan asas menjadi keutamaan kerajaan ketika ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat.
- Kerajaan meneliti semua implikasi sebelum melaksanakan sebarang pakej rangsangan ekonomi baharu, termasuk kesan terhadap rakyat dan peniaga.
- Pertimbangan untuk memberi kelonggaran kepada perniagaan dalam cukai, tarif atau bayaran bagi mengurangkan beban.
- Cadangan menangguhkan pelaksanaan e-invois sedang diperhalusi untuk meringankan beban rakyat dan memastikan perniagaan terus berdaya tahan.
- Penekanan pada langkah yang seimbang antara membantu rakyat dan menjaga kestabilan perniagaan dalam keadaan ekonomi global tidak menentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang meneliti semua implikasi sebelum melaksanakan sebarang pakej rangsangan ekonomi baharu termasuk kesannya terhadap rakyat dan peniaga.
“Itu saya ingat keutamaan. Kemudian kita lihat sama ada boleh beri sedikit kelonggaran kepada perniagaan melibatkan cukai, tarif atau bayaran yang dikenakan supaya dapat membantu mengurangkan beban,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini.
Selain itu, katanya, cadangan untuk menangguhkan pelaksanaan e-invois turut sedang diperhalusi sebagai sebahagian usaha mengurangkan beban rakyat serta memastikan perniagaan kekal berdaya tahan dalam keadaan ekonomi tidak menentu.