
BAGAN DATUK, 5 April – Kerajaan terus mempergiat usaha bagi mendepani cabaran krisis tenaga global susulan konflik yang masih berlarutan di Asia Barat.
- Kerajaan mengambil pendekatan proaktif dengan perbincangan berkala bersama pemain industri untuk mendapatkan maklum balas menyeluruh.
- Mesyuarat mingguan MTEN menjadi platform menilai situasi dan merangka langkah terbaik bagi mengurangkan impak terhadap negara.
- Taklimat harian secara langsung diadakan supaya maklumat terkini dapat disampaikan kepada rakyat secara menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan perbincangan secara berkala bersama pemain industri bagi mendapatkan maklum balas menyeluruh.
Mesyuarat mingguan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menjadi platform penting untuk menilai situasi semasa, selain merangka langkah terbaik dalam mengurangkan impak terhadap negara.
“MTEN memanggil peneraju industri mengikut sektor masing-masing untuk memberikan taklimat serta pandangan kepada ahli mesyuarat. Pandangan tersebut akan diambil kira dalam merangka langkah-langkah yang akan dilaksanakan kerajaan.
“Selain itu, taklimat harian juga diadakan secara langsung dan diharap segala maklumat terkini dapat disampaikan kepada rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk, di sini malam tadi.
Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 14 ribu pengunjung dari sekitar parlimen itu.