MARANG, 15 Februari - Komuniti kampung yang memiliki projek berpotensi untuk menjana keuntungan dalam kawasan mereka kini boleh memohon geran bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri Datuk Nik Nasaruddin Mohd Zawawi berkata, inisiatif yang boleh meningkatkan pendapatan itu akan menerima dana hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
Beliau berharap semua komuniti yang telah dan bakal menerima geran itu dapat memanfaatkan peruntukan yang diberikan sebaik-baiknya bagi kesejahteraan komuniti masing-masing.
"Tahun lalu, Program SejaTi MADANI yang dilaksanakan bawah inisiatif Belanjawan 2024 menerima permohonan mencecah RM1.52 bilion dalam tempoh enam bulan.
"Pelaksanaan program itu secara keseluruhannya sangat baik dengan prestasi perbelanjaan mencapai 100 peratus daripada RM590 juta yang diterima dan memberi manfaat kepada 6,021 komuniti," kata Nik Nasaruddin.
Beliau berucap ketika merasmikan Karnival Santuni MADANI Kampung Pekan Bukit Payong, di sini. Nik Nasaruddin turut menyampaikan bantuan Back To School, bantuan motorsikal dan bantuan eKasih.
Untuk SejaTi MADANI di Terengganu, sebanyak 615 projek telah diluluskan kepada 615 komuniti pada tahun 2024 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM60 juta.