fb fb fb fb fb

Malaysia-Turkiye perkukuh kerjasama teknologi ROV dasar laut

Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

KUALA LUMPUR, 15 Februari - Sektor marin dasar laut Malaysia dijangka terus berkembang menerusi kerjasama strategik antara syarikat tempatan, Ezed Energy Sdn Bhd (EESB) dan peneraju robotik Turkiye, Hoytek.

Perkongsian itu dimeterai sempena Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EESB Mohd Tarmizi Yahaya menyatakan, kerjasama tersebut akan melibatkan pemindahan teknologi Kenderaan Kawalan Jarak Jauh (ROV) yang lebih lestari, sekali gus berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pengeluar ROV utama bagi pasaran Asia pada masa hadapan.

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan Hoytek, yang pendekatan inovatifnya melengkapi misi kami dalam menyediakan penyelesaian lestari. Bersama-sama kami berhasrat menetapkan standard industri baharu dari segi kecekapan dan keselamatan dalam operasi bawah air serta membangunkan bakat tempatan dalam bidang ini," kata Mohd Tarmizi.

Fasa pertama kerjasama merangkumi pengeluaran ROV Kelas Kerja yang akan ditawarkan kepada pelanggan marin dan tenaga di seluruh dunia, dengan sasaran penjanaan nilai sebanyak AS$65 juta (RM300 juta).

Selain ROV, kerjasama itu turut memanfaatkan teknologi robotik terkini Hoytek serta kepakaran Ezed Energy dalam aplikasi tenaga. Kenderaan direka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan dalam pelbagai sektor, termasuk marin, keselamatan, dan pertahanan.

Pengerusi EESB Ferol Zamhuri Mamat, menambah kerjasama berkenaan juga berpotensi melibatkan institut tempatan Malaysia, sejajar dengan usaha kerajaan dalam mempromosikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hoytek Dr Bertan Tezcan, menegaskan bahawa pihaknya komited untuk meneroka sempadan teknologi bersama Malaysia.

"Kerjasama dengan Ezed Energy Sdn Bhd menambah nilai besar kepada visi kami dalam mencipta penyelesaian ROV yang pintar dan mampan bagi memenuhi permintaan moden sektor marin dasar laut," kata Dr Bertan.

TETITIA YUSOFF