KUALA LUMPUR, 15 Februari- Semua bakal haji diwajibkan menerima suntikan vaksin Meningococcal manakala vaksin COVID-19 dan influenza pula, diwajibkan kepada kumpulan sasar.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan Tabung Haji (TH) melalui siaran akhbar semalam menyatakan keperluan vaksin COVID-19 dan influenza adalah kepada bakal haji berumur 65 tahun dan ke atas serta individu yang dikategorikan berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan.
"Bagi pelaksanaan vaksinasi COVID-19, bakal haji yang terlibat boleh mendapatkan suntikan vaksin secara percuma di 247 klinik kesihatan terpilih di seluruh negara mengikut janji temu yang ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera atau laman rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my.
"Janji temu bagi vaksin COVID-19 boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari dan individu boleh mendapatkan suntikan bermula 17 Februari. Notifikasi peringatan janji temu juga akan dihantar melalui aplikasi MySejahtera sehari sebelum tarikh janji temu," menurut kenyataan itu.
Sementara itu bakal haji yang bukan dalam kumpulan sasar boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara sukarela di fasiliti kesihatan berkaitan setelah mendapat konsultasi daripada pegawai perubatan.
Manakala bakal haji berumur 65 tahun ke atas serta individu yang dikategorikan berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza di mana-mana fasiliti swasta yang tersenarai dalam aplikasi MySejahtera atau fasiliti swasta yang boleh memuat naik Sijil Digital Vaksinasi ke aplikasi MySejahtera.
Bakal haji warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih selaras dengan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan diumumkan baru-baru ini.
Janji temu boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari, dengan tarikh janji temu akan diberikan bermula 18 Februari.
Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan maklumat terkini dan panduan berkaitan vaksinasi kepada bakal haji boleh diajukan kepada KKM dan TH.