KANGAR, 24 Jun - Hujan lebat berterusan yang melanda Perlis sejak awal pagi tadi menyebabkan berlakunya limpahan air bukit dikawasan Kompleks Eko Pelancongan Gua Kelam dan Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat.
Berikutan kejadian yang berlaku, kedua-dua pusat rekreasi berkenaan ditutup serta merta bermula hari ini sehingga diberitahu kelak.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Awang Shaffie Awang Ahmadni, penutupan dibuat berikutan keadaan yang amat berbahaya kepada semua pengunjung yang berkunjung ke pusat rekreasi Gua Kelam dan Bukit Ayer terutamanya yang melibatkan aktiviti air.
(Kompleks Eko Pelancongan Gua Kelam dan Taman Eko Rimba Bukit Ayer ditutup berikutan arus deras)
"Semua pengunjung diharap dapat mematuhi arahan dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Hanya pusat pameran, penerokaan realiti maya dan bilik cermin bagi pemerhatian panorama Banjaran Nakawan yang dibuka untuk pengunjung," katanya
Selain Gua Kelam dan Bukit Ayer, pengunjung yang berkunjung ke mana-mana kawasan perkelahan yang terdapat di negeri ini diingatkan tidak turun mandi dan segera meninggalkan kawasan berkenaan sekiranya hujan lebat kerana bimbang berlaku limpahan air atau kepala air.
Jabatan Perhutanan Negeri akan terus memantau semua pusat rekreasi disebabkan hujan lebat yang masih berlaku.