KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membangunkan Pelan Induk Cerun Negara (PICN) sehingga tahun 2030 untuk mengurangkan risiko dan kerugian akibat tanah runtuh.
Pelan tersebut dilaksanakan menerusi Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) selaras dengan komitmen kerajaan di peringkat antarabangsa melalui United Nations Disaster Risk Reduction (UNDRR) Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2030.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan pelan tersebut meliputi 11 komponen utama termasuk dasar dan rangka kerja institusi, penilaian dan pemetaan bahaya serta taksiran kerugian yang dijadikan rujukan kepada semua agensi berkaitan dalam membuat pemetaan dan penilaian tahap bahaya serta risiko cerun.
"Sebanyak 26,722 cerun telah diinventori dengan 1,577 cerun dikategorikan sebagai 'sangat tinggi' risikonya dan 1,706 lagi mempunyai risiko 'tinggi'.
"Bagi tahun 2024, KKR telah melaksanakan lapan kerja pencegahan cerun runtuh dengan kos RM17.725 juta, manakala 147 kerja pembaikan dengan kos RM158.81 juta," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
KKR turut melaksanakan pengumpulan data serta menghasilkan peta bahaya dan risiko cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia untuk mengenal pasti cerun-cerun berisiko.
Ahmad juga memaklumkan kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bekerjasama dengan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk memantau kawasan cerun berisiko serta meneroka teknologi terkini dalam usaha mengurangkan kejadian tanah runtuh.
"Kami menggunakan teknologi soil nailing atau pemakuan tanah, serta teknologi 'tera link' dari India. KKR sentiasa mencari sistem terbaik dari negara-negara lain. CKC telah menyenaraikan satu per satu langkah yang akan diambil, termasuk kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT)," tambah beliau.