IPOH, 15 Oktober- Seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibaham harimau berhampiran rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata mangsa berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pengendali jentera berat dipercayai hendak ke tandas rumah kongsi berkenaan.
Beliau berkata kejadian itu disaksikan oleh isteri mangsa yang merupakan warga Thailand dan bekerja sebagai tukang masak.
"Pusat Kawalan Daerah Gerik telah menerima maklumat berkaitan kes itu kira-kira 8.25 pagi dengan kejadian dipercayai berlaku antara 5 hingga 6 pagi semasa mangsa hendak pergi ke tandas.
"Pengadu memaklumkan terdengar bunyi harimau mengaum lalu membuka pintu rumah kongsi dan telah melihat haiwan itu sedang mengheret mangsa ke arah semak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizi berkata sepasukan polis bersama 10 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah ke lokasi kejadian untuk siasatan dan lelaki itu dijumpai pada 12.00 tengah hari kira-kira 100 meter dari rumah kongsi berkenaan dengan mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kaki kiri dan leher.
"Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik bagi tujuan bedah siasat," katanya.