fb fb fb fb fb

KKM tunggu siasatan berhubung kualiti kain kurang baik

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUCHING, 16 November- Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu keputusan siasatan berhubung aduan jururawat mengenai kualiti kain kurang baik yang dibekalkan sebuah syarikat untuk pakai seragam jururawat bernilai lebih RM98.3 juta.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan dijalankan Jabatan Kimia dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Beliau yakin hasil ujian dan siasatan dapat diketahui dalam masa terdekat bagi membolehkan langkah seterusnya diambil untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Keputusan siasatan itu juga akan dimaklumkan menerusi kenyataan media KKM.

"Saya nak perkara ini diselesaikan semalam tetapi saya perlu bersabar untuk memperoleh keputusan tepat dan maklum balas daripada mereka.

"Sekiranya keputusan berkenaan diperoleh saya akan membentangkan kepada pengurusan tertinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dan Kembara Madani Afiat Wilayah Sarawak di sini.

Pada 23 Oktober lalu, Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) menerima maklum balas mengenai kain yang dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat sedikit keras serta tidak selesa dipakai ketika bekerja.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI