KUALA LUMPUR , 19 Mei- Penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) bertindak sebagai "senjata" Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan ketirisan dalam perolehan dan agihan dana awam .
Sekali gus mencerminkan keazaman pelbagai pihak menangani isu berkaitan penyelewengan dan penipuan dalam pelaporan kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, KKFP yang turut dianggotai enam agensi lain berkolaborasi memberi fokus mengesan transaksi pengubahan kewangan yang mencurigakan.
"Sebab itu lebih strategik kita wujudkan KKFP ini, di mana masing-masing tahu bidang masing-masing. Pertamanya, integriti ataupun had-had masing-masing.
"Dan kita boleh duduk berbincang. Kalau dari Ketua Audit Negara, saya fahamlah daripada segi mana kekangan undang-undangnya.
"Tetapi pakar yang mereka ada di sini bukan hanya kerja-kerja audit yang dibuat, tetapi hal-hal lain yang tak ada kaitan dengan laporan audit itu boleh kita minta bantuan dari mereka.
"Ini yang saya katakan kerjasama strategik, penting bagi kita mengekang ketirisan," katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran KKFP di ibu negara.
Selain SPRM, KKFP dianggotai Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia.
Mengulas mengenai siasatan 1MDB pula, Tan Sri Azam berkata, kepakaran ahli KKFP akan digunakan sepenuhnya bagi membantu mengesan aset melalui kerjasama antarabangsa.
"Ini bukan satu kerja yang mudah. Kalau tiada bantuan daripada pakar-pakar tertentu, sudah tentu proses untuk mendapatkan wang berkenaan akan menjadi lambat," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan tindakan lebih tegas diambil ke atas mana-mana kes tertentu sekiranya wujud keperluan dan bukti mencukupi.