fb fb fb fb fb

KKD teliti langkah penyelesaian, pastikan mutu perkhidmatan syarikat telekomunikasi

(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melancarkan
Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) di Sungai Petani)

SUNGAI PETANI, 30 Mac- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti langkah-langkah penyelesaian yang boleh dilakukan bagi memastikan mutu serta kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi menyamai atau melebihi apa yang dijanjikan kepada orang ramai.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan melibatkan pihak penyedia perkhidmatan.


(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)

"Saya juga guna Internet di rumah, tapi (kelajuan) yang dipaparkan memang ada beberapa isu, sebahagiannya teknikal, sebahagian berkaitan dengan bila Internet itu digunakan, waktu itu mungkin waktu puncak ramai yang menggunakan.

"Perkara ini juga tidak perlu sebut internet berjalur lebar tetap tetapi seperti saya sebut tadi 'broadband wireless' akses, bila di pasang di pos orang Asli di Gua Musang sebagai contoh, perancangan adalah untuk dua tahun tapi bila dipasang  dua hingga tiga bulan kesesakan itu telah berlaku kerana bila ramai yang merasakan boleh menggunakan internet dan  diguna ramai serentak, maka ada kesan kepada kualiti", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) di sini.
 
Turut hadir Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Pegawai Operasi SKMM Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Korporat dan Kawal Selia Telekom Malaysia Tengku Muneer Tengku Muzani dan Ketua Pengarah Penyiaran Suhaimi Sulaiman.

Media Baharu