LANGKAWI, 25 Mei - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memandang serius projek-projek pembangunan yang dikategorikan sebagai 'projek sakit' di bawah kementerian yang gagal disiapkan mengikut jadual.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pada masa ini terdapat dua projek di bawah KKD yang menghadapi masalah itu iaitu projek membina bangunan Jabatan Penyiaran Langkawi dan juga projek Jabatan Penyiaran Bintulu, Sarawak.
Beliau berkata, projek bangunan baharu Jabatan Penyiaran Langkawi akan ditender semula oleh JKR September ini manakala kerja-kerja pembinaan akan disambung selewat-lewatnya akhir tahun ini.
"Bagi saya dan pihak kementerian, kami memandang serius sekiranya ada projek yang telah diberi peruntukan, dikeluarkan surat setuju terima tapi tidak mampu dilaksanakan," kata Fahmi ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak projek bangunan baharu Jabatan Penyiaran Langkawi di Kampung Buluh Penyumpit, di sini.
Tambah Fahmi, projek pembinaan Jabatan Penyiaran Langkawi itu sepatutnya disiapkan pada Mac 2023 namun projek tersebut terpaksa ditender semula selepas pihak kontraktor gagal melaksanakannya walaupun telah diberikan lanjutan masa sebanyak tiga kali.
Katanya, pihak kementerian dan Jabatan Kerja Raya akhirnya menamatkan kontrak pihak kontraktor terbabit pada 12 April lepas dan proses tender akan dilakukan semula bagi melantik kontraktor baharu untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan kontraktor lama.