fb fb fb fb fb

Kilang terbakar: seorang kanak-kanak 11 tahun rentung

SUNGAI PETANI, 4 Mac- Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dalam kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses getah tiruan (sintetik) di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, dekat Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Mangsa Misha Kasih, ditemukan meninggal dunia di tingkat atas kilang selepas kerja pemadaman dilakukan anggota bomba dan penyelamat.

Kenyataan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim mengesahkan mayat Misha ditemukan dalam keadaan rentung di tingkat dua bangunan pejabat kilang berkenaan.

Ketika kejadian anak pengurus kilang itu yang tidur dalam sebuah bilik di bangunan kilang terbabit sempat menyelamatkan diri, namun Misha gagal ditemukan ketika itu.

Menurutnya, pengurus kilang memberitahu mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu adalah anak angkat keluarga mereka yang dipelihara sejak kecil.

"Ibu kanak-kanak terbabit adalah seorang warga Indonesia dan sudah pulang ke negara asal serta meninggalkan mangsa kepada pengurus kilang berkenaan untuk dijadikan anak angkat.

"Pengurus kilang mendakwa semua dokumen pengambilan anak angkat sudah didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga Melayu sejak kecil untuk dijaga kerana dia beragama Islam dan akan dibawa bermain serta tidur dalam kilang berkenaan bersama anak pengurus terbabit setiap malam.

"Mangsa akan dijemput anak pengurus kilang itu pada sebelah petang dan menghantar semula keesokannya kepada keluarga Melayu berkenaan.

"Ketika kejadian, anak pengurus kilang berjaya menyelamatkan diri manakala kanak-kanak terbabit gagal ditemui dalam keadaan kelam kabut itu," katanya.

Anuar berkata, siasatan lanjut mendapati kilang hasil perusahaan keluarga itu sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu namun terpaksa mengecilkan penghasilan produk serta mengurangkan pekerja akibat pandemik Covid-19.

"Ketika kejadian, kilang terbabit yang hanya mempunyai lapan pekerja tidak beroperasi dan kebakaran memusnahkan hampir keseluruhan kilang termasuk mesin pembuatan dengan jumlah kerugian dianggarkan RM8 juta.

"Setakat ini, punca kebakaran masih belum diketahui sama ada mempunyai unsur khianat atau sebaliknya dan siasatan diserahkan kepada pihak bomba," katanya.

Kebakaran itu memusnahkan hampir 95 peratus kilang, yang telah beroperasi sejak hampir 20 tahun lepas.

Mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat.


(Anggota bomba mengusung mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani/ Foto Ihsan JBPM)

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.11 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian api marak dan memusnahkan 80 peratus kilang terbabit menyebabkan usaha menyelamatkan mangsa yang didapati terperangkap sukar dilakukan.

"Kita terpaksa menggunakan 10 pancutan air daripada jentera serta api dapat dikawal jam 5.10 pagi dan mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui di tingkat atas kilang berkenaan jam 7.30 pagi," katanya.


Media Baharu