fb fb fb fb fb

Keunikan Sukan Bendang, gamit kenangan zaman dahulu

Kayuh gerek atas titi, lumba lari dalam bendang, serkap ikan, menitik papan licin, tarik upih, sorong kawan atas titi dan tarik tali dalam bendang antara acara yang disediakan

ARAU, 2 Oktober -Lebih 2,000 peserta dan penduduk tempatan dijangka memeriahkan edisi ke-4 Sukan Bendang yang bakal berlangsung pada 4 Oktober ini.

Pengerusi jawatankuasa program, Rozieana Ahmad dalam kenyataan berkata, Sukan Bendang merupakan acara tahunan yang menjadi medium bagi memperkukuh semangat perpaduan, hormat menghormati, kerjasama dan pemuafakatan antara satu sama lain.

''Sukan Bendang ini juga menjadi tarikan utama bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang dilanjutkan hingga 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia yang menyerlahkan keunikan masyarakat kampung," katanya menerusi kenyataan itu.

Antara acara yang kerap dilaksanakan setiap kali berakhirnya musim menuai padi ialah kayuh gerek atas titi, lumba lari dalam bendang, serkap ikan, menitik papan licin, tarik upih, sorong kawan atas titi dan tarik tali dalam bendang.

Ketika ini, persiapan akhir sedang giat dijalankan secara gotong-royong oleh penduduk kampung, sebagai persiapan menjelang hari berlangsungnya acara.

Majlis pembukaan rasmi Sukan Bendang akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

TETITIA YUSOFF