BACHOK, 2 Oktober - Hasrat Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7 tahun, kanak-kanak yang meninggal dunia akibat dipukul dengan tukul untuk tinggal bersama ibunya tidak kesampaian.
Sepupunya, Amirul Nizam Saiful Bahari, 25 tahun berkata, Ammar sepatutnya berpindah ke Terengganu untuk bersama dengan ibu kandungnya, Nur Ayuni Mohd Kamaruzaman, 29 tahun, tahun depan yang sebelum ini tinggal bersama bapanya, Muhammad Badrul Rameli, 31 tahun di Kampung Mujur, Jelawat, Bachok.
Namun katanya, hasrat itu tidak menjadi kenyataan apabila Muhammad Ammar disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, petang semalam.
"Sebelum ni dia ada minta nak duduk dengan mak dia Ayuni, itu saja yang saya tahulah, tak sampai hajat yang dia rancang tu, dia akan sekolah tahun depan dan nak habiskan sekolah dulu di Terengganu", katanya.
Amirul Nizam berkata, sepupunya yang juga anak tungal itu seorang yang lemah lembut serta baik dan kali terakhir mereka bertemu pada dua minggu lalu di majlis pertunangan saudara.
Terdahulu jenazah kanak-kanak itu tiba di rumah bapanya pada pukul 10.30 malam untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujur, Jelawat, Bachok pada pukul 10.34 malam ditemani ahli keluarga serta penduduk sekitar.
Jenazah selamat dikebumikan pada jam 10.50 malam.
Muhammad Ammar dilaporkan meninggal dunia pada pukul 3.02 petang semalam selepas tujuh hari bertarung nyawa di ICU HPUSM, Kubang Kerian.