(Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang/ FB Muhammad Khalil Abdul Hadi)
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Kesihatan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang merosot dan kini sedang dirawat di hospital.
Perkara itu dimaklumkan anak beliau Muhammad Khalil Abdul Hadi, menerusi hantaran di laman Facebooknya pagi ini.
“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru. Kesihatan ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” katanya.
Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata Abdul Hadi sememangnya dalam keadaan uzur, sewaktu hadir ke pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PAS Terengganu di Marang pada 27 Jun lalu.
(Muhammad Khalil Abdul Hadi)
Beliau berkata walau bagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu, tetap menggagahkan dirinya untuk hadir.
“Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan lokasi hospital Abdul Hadi dirawat, namun beliau sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk menerima rawatan.
- BERNAMA