fb fb fb fb fb

Keselamatan siber: Isu utama diberi perhatian di Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Keselamatan siber kekal antara isu yang menjadi perhatian utama Malaysia susulan peningkatan mendadak kes yang dilaporkan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata jumlah kes yang direkodkan berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan emel melonjak hampir sekali ganda.

"Pada 2019 kira-kira 13,000 kes jenayah siber dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM539 juta dan bilangan itu meningkat kepada 17,000 kes dalam tahun 2020," katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, bilangan kes meningkat kepada lebih 20,000 dengan jumlah kerugian RM560 juta, manakala setakat Februari 2022, bilangan kes dilaporkan ialah 3,273 dan kerugian berjumlah RM114 juta.

"Banyak ancaman semasa dan baharu muncul membabitkan teknologi baharu yang tidak pernah didengar dalam tempoh sedekad lalu. Pada masa sama, landskap keselamatan negara ketika ini berubah lebih pantas berbanding sebelum ini.

(Hamzah berkata, landskap keselamatan siber negara ketika ini
berubah lebih pantas berbanding sebelum ini/FOTO HIASAN)


"Oleh itu, mengikuti perubahan ini antara cabaran terbesar pertahanan dan keselamatan negara di rantau kita.

"Justeru, selain mempamerkan teknologi dan perkhidmatan terkini, DSA platform penting untuk menggalakkan pembinaan kapasiti dan mewujudkan perkongsian asing yang saling menguntungkan, selaras dengan objektif untuk mengukuhkan pertahanan dan keselamatan serantau," katanya.

Hamzah berucap pada majlis perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada malam Ahad.


Media Baharu