Kesedaran masyarakat terhadap pengurusan e-waste meningkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 3 April – Kesedaran terhadap pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) dalam kalangan masyarakat semakin meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Irfan mula hantar sisa elektronik ke pusat kitar semula berdaftar setelah mengetahui kewujudan pusat tersebut.
  • <liBeliau terangkan komponen berbahaya seperti motherboard, cakera keras dan arsenik yang boleh merosakkan tanaman.
  • Ada individu menjual televisyen terpakai ke kedai alat ganti sebagai cara melupuskan sisa elektronik.
  • Kerajaan menguatkuasakan pengharaman import e-waste mulai 1 April; bahan sisa elektrik dan elektronik tidak dibenarkan masuk.

Kesedaran itu seiring langkah kerajaan memperketat kawalan termasuk larangan import bahan berkenaan ke negara ini.

Menurut graduan Sarjana Muda Sains Komputer, Irfan Adam Khan Rizal Khan, dia mula menghantar sisa elektronik ke pusat kitar semula berdaftar setelah mengetahui kewujudan pusat tersebut.

“Sebelum saya tahu tentang pusat pelupusan sisa elektronik ini, saya cuma simpan barang tersebut di rumah sahaja,” katanya kepada RTM.

Beliau yang mempunyai ijazah dalam bidang berkaitan turut berkongsi pengetahuan tentang komponen-komponen berbahaya yang terdapat dalam bahan elektronik serta kesan buruknya terhadap persekitaran.

“Antara komponen yang merbahaya adalah papan induk (motherboard) dan cakera keras (hard drive) kerana terdapat bahan-bahan asidik seperti arsenik. Bahan tersebut akan melepaskan bahan kimia yang jika dibuang di merata tempat, akan menyebabkan kerosakan tanaman,” tambahnya.

Manakala, penjawat awam, Ahmad Azham Rifhan Azaman pula sering melupuskan barang elektronik seperti televisyen dengan menjualnya ke kedai barangan alat ganti.

Beliau turut menyokong keputusan kerajaan yang mengharamkan import bahan sisa elektronik masuk ke negara ini.

“Kerajaan mengambil langkah yang bijak kerana negara kita bukan lokasi pembuangan sampah sebaliknya memerlukan barang asli yang baharu daripada kilang,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Mohamad Fiqree Afiqie Mohd Nashruddin pula, beliau cakna dengan kesan buruk pembuangan sisa elektronik secara tidak terkawal kepada penduduk.

“Sisa elektronik ini akan mencemarkan alam sekitar serta membahayakan penduduk sekitar kerana ada bahan seperti merkuri,” katanya.

Bermula 1 April, kerajaan telah menguatkuasakan sepenuhnya pengharaman import sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta tidak dibenarkan masuk ke negara ini dalam apa jua bentuk.