fb fb fb fb fb

Kesedaran awal komuniti penting dalam pengurusan bencana

Tinjauan dron APM Sarawak di daerah Bintulu yang terjejas teruk akibat banjir/Foto APM Sarawak

KUCHING, 3 Februari – Kesedaran awal dan tindakan pantas oleh komuniti amat penting dalam pengurusan bencana bagi memastikan kelancaran operasi penyelamatan dan pemindahan.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, PPj. (PA) Mohtar Samat, berkata jika penduduk hanya bergantung kepada bantuan daripada agensi kerajaan tanpa bertindak lebih awal, proses pemindahan boleh menjadi lebih sukar dan berisiko tinggi.

"Bukan untuk menyebabkan panik, tetapi bagi menanam kesedaran awal dalam kalangan masyarakat. Jika hujan berterusan di kawasan mereka, mereka perlu bersedia secara fizikal dan mental serta bertindak atau berpindah awal sebelum bencana lebih besar berlaku," katanya ketika ditemui selepas temu bual di konti Sarawak FM, hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya hujan lebat berterusan.

Ini termasuk menyimpan dokumen penting, barangan elektronik, dan aset bernilai di tempat lebih tinggi atau selamat.

Selain itu, beliau turut menasihatkan penduduk tidak meredah air menggunakan kenderaan biasa, kerana arus deras boleh mengundang bahaya.

"Jika pemindahan diperlukan, mereka digesa untuk bertindak segera tanpa berlengah bagi mengelakkan risiko yang lebih besar.

"Kesedaran awal amat penting bagi mengurangkan risiko dan memastikan keselamatan semua pihak. Keselamatan diri dan keluarga harus menjadi keutamaan dalam setiap situasi kecemasan," tambahnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN