LABUAN, 17 Oktober- Tahap kesedaran masyarakat terhadap pengesanan awal kanser masih rendah dan perlu diperkukuh bagi meningkatkan peluang pesakit diselamatkan.
Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Francis Paul berkata, pengesanan awal mampu memberi kesan besar terhadap kadar kelangsungan hidup pesakit kerana rawatan boleh dimulakan sebelum penyakit menjadi serius.
Beliau menegaskan bahawa pencegahan dan pemeriksaan berkala adalah langkah penting menangani kanser, selain pengamalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
"Sokongan dan dorongan daripada keluarga serta komuniti memainkan peranan besar dalam membantu pesakit menghadapi rawatan dengan lebih positif dan bersemangat," katanya.
Beliau berucap pada Minggu Kesedaran Kanser peringkat Labuan yang diadakan di Lions House of Love, Kampung Layang-Layangan di sini hari ini.
Program itu turut menyediakan saringan mamogram kepada wanita berumur 40 hingga 70 tahun, dengan pemeriksaan percuma ditawarkan kepada golongan B40.
Saringan kanser usus turut dijalankan untuk lelaki dan wanita berusia antara 50 hingga 75 tahun dengan penyertaan keseluruhan mencecah 200 orang khususnya wanita berumur 40 hingga 70 tahun.