fb fb fb fb fb

Kesaksamaan gender, kunci pembangunan negara mampan - Dr. Noraini

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad merasmikan Forum Hari Wanita Sedunia 2025 Peringkat Parlimen Malaysia/Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Semua pihak diseru untuk menyokong usaha inklusif kerajaan dalam memastikan tiada yang terpinggir.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, menegaskan bahawa kesaksamaan gender dan penyertaan semua lapisan masyarakat adalah kunci kepada pembangunan negara mampan.

"Kita masih lagi belum sampai sasaran yang kita hendak. Tetapi, sudah ada peningkatan yang amat ketara. Aspek pendidikan kita, memang bagus tetapi yang paling rendah adalah penurunan dalam "gender index" ini, penyertaan wanita dalam bidang politik.

Pelbagai cara kita telah laksana untuk mengalakkan penglibatan wanita terutamanya di dalam politik," kata Dr. Noraini kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada Forum Hari Wanita Antarabangsa 2025, bertemakan Kesaksamaan Gender Sebagai Pemacu Perubahan.

Jelasnya, keterangkuman hanya boleh dicapai apabila wanita serta setiap individu dalam masyarakat, termasuk orang kurang upaya (OKU), diberikan peluang yang sama tanpa sebarang pengecualian atau diskriminasi.

Beliau turut menekankan, keterangkuman memerlukan kerjasama menyeluruh daripada sektor awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu.

Forum Hari Wanita Antarabangsa berperanan sebagai platform penting dalam membincangkan isu keterangkuman dan kesaksamaan gender bagi membantu dalam merangka dasar serta undang-undang yang lebih inklusif.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM