fb fb fb fb fb

Kes tibi dalam negara masih terkawal- Dr Zaliha

Dr Zaliha melancarkan Pelan Tindakan Malaysian Action Plan On Antimicrobial Resistance (MyAP-AMR) 2022-2026 pada Majlis Sambutan 'World Antimicrobial Resistance Awareness Week (WAAW) 2023’ Peringkat Kebangsaan hari ini.

PUTRAJAYA, 18 November- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku beberapa kes Tuberkulosis atau tibi di Cheras, Kuala Lumpur, namun secara keseluruhan kes jangkitannya dalam negara adalah terkawal.

Bagaimanapun, Menterinya Dr Zaliha Mustafa menggesa orang ramai supaya tidak panik kerana kementeriannya sering memantau perkembangan jangkitannya.

"Sebenarnya ia bukanlah berlaku wabak. Kes ini memang sentiasa ada cumanya kita lihat taburan kepada penyakit itu di Lembah Klang. Tapi apapun, KKM tengah melihat isu ini dan kita tidak mahu perkara yang tidak benar itu disebarkan kerana boleh menyebabkan panik kepada orang awam" katanya.

Dr Zaliha menyatakannya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob (WAAW) Peringkat Kebangsaan 2023 dan Pelancaran Pelan Tindakan Kerintangan Antimikrob Malaysia (MyAp-AMR 2022- 2026) di sini, hari ini.

Katanya, KKM turut menyarankan orang ramai yang mengalami batuk berpanjangan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

"Perkembangan penyakit tibi boleh dirujuk melalui aplikasi MySejahtera kerana KKM sudah merekodkan jumlah kes di kawasan masing-masing atau berdekatan," katanya.

Dr Zaliha memaklumkan jumlah pesakit tibi akan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan, orang ramai tidak perlu bimbang kerana penyakit itu boleh dicegah melalui suntikan vaksin.

Beberapa hari lalu, notis pejabat pengurusan sebuah kompleks pangsapuri Lembah Klang menjadi tular selepas mendakwa berlaku wabak penyakit itu di Cheras, Kuala Lumpur.

ZEHRA BINTI ZAMBRI