fb fb fb fb fb

Mahasiswa di luar negara disifatkan sebagai duta

Datuk Seri Fadillah Yusof

BEIJING, 18 November- Mahasiswa yang melanjutkan pengajian di luar negara disifatkan sebagai duta untuk merapatkan hubungan dua hala, iaitu termasuk aspek pengajaran dan pembelajaran, malah merangkumi konteks pertukaran budaya, kepercayaan serta nilai yang berbeza.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut memperincikan fokus lawatan rasmi selama tujuh hari beliau ke negara republik itu ketika berucap pada Majlis Pertemuan dan Ramah Mesra bersama Mahasiswa Malaysia di Beijing.

"Kalau kita lihat perdagangan dua hala dari 14 tahun lepas sehingga kini telah meningkat dari segi agrikomoditi telah menyumbang 12.8 peratus pada tahun 2022. Maknanya peningkatan setiap tahun itu terus berkembang.

"Dan sebab itu saya datang bukan sahaja untuk meraikan 10 tahun hubungan perdagangan kita dan 50 tahun hubungan diplomatik kita selain untuk meningkatkan hubungan dua negara khususnya dalam agrikomoditi.

"Di Beijing ini kita jumpa kepimpinan tertinggi negara China dan dalam perjumpaan ini banyak perkara yang dibincangkan di samping memfokuskan hubungan perdagangan dalam minyak sawit," katanya di sini.

Sementara itu, Pelajar Universiti Beijing Jiaotong Muhammad Aqil Nor Zamani yang ditemui melahirkan keterujaan berhubung misi Timbalan Perdana Menteri ke China yang diyakini mampu memberikan manfaat besar kepada kedua-dua negara.

"Perasaan saya apabila Timbalan Perdana Menteri datang ke Beijing adalah untuk kepentingan pelajar-pelajar di sini, sangat teruja. Saya juga mengharapkan hubungan malaysia dan China semakin baik untuk kepentingan kedua-dua negara," katanya.

Bagi Lim Zheng Sheng, "kami berharap lebih banyak peluang seperti kami pelajar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapat tajaan atau sokongan supaya lebih ramai pelajar dihantar ke China."

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI