(22 ekor ular pelbagai spesies dirampas di Lapangan Terbang Chennai/Twitter@cbic_india)
PUTRAJAYA, 3 Mei- Bagasi seorang penumpang yang membawa 22 ekor ular dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India pada 28 April lalu dilaporkan didaftarkan sebagai ‘check-in baggage’ dan ia bawah kawalan Polis Bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjelaskan pihaknya hanya memeriksa bagasi atau beg yang diikrar sebagai ‘hand carry baggage’ apabila penumpang melalui kawasan pemeriksaan Kastam.
Dalam pada itu, katanya, bagasi penumpang berstatus ‘check-in baggage’ perlu didaftarkan di kaunter ‘check-in bag’ di mesin pengimbas milik MAHB sebelum melalui pemeriksaan Imigresen dan Kastam di KLIA Terminal 1, KLIA Terminal 2 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
"Pegawai Kastam hanya akan mengarahkan penumpang mengikrarkan barang-barang milikannya dan mengimbas setiap bagasi dan beg ‘hand carry baggage’ yang dibawa di kaunter Pemeriksaan Kastam sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 103, Akta Kastam 1967," menurut kenyataan hari ini.
Ujarnya, pengimbasan dan pemantauan imej semua bagasi dilakukan sepenuhnya oleh Polis Bantuan MAHB, KLIA yang bertugas dan hasil pemeriksaan tersebut akan disalurkan kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
Kastam dan MAHB sedang dalam cadangan pelaksanaan pemeriksaan secara berpusat terhadap penumpang penerbangan antarabangsa yang akan dijalankan di KLIA Terminal 2.
(Antara ular yang ditemui dalam bagasi seorang wanita di Lapangan Terbang Chennai
sejurus tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur/
Twitter @ChennaiCustoms)
Artikel berkaitan:
Wanita dari KL seludup 22 jenis ular ditahan di Lapangan Terbang Chennai