
KUALA LUMPUR, 7 APRIL – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil selesai memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam kes saman fitnah terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani di Mahkamah Tinggi hari ini.
- Jangkaan panggilan beberapa saksi dalam satu hingga dua hari bagi membantu siasatan kes ketiga.
- Dua saman terhadap Mohd Fauzan Madzlan dan Wan Muhammad Azri Wan Deris diselesaikan semalam.
- Fahmi kumpul kandungan media sosial Wan Azri dan serah kepada peguam untuk semakan serta nasihat tindakan susulan.
Menurut beliau, proses pemeriksaan utama serta soal balas terhadapnya telah selesai dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada peguam untuk meneruskan prosiding kes berkenaan.
“Ia berkait dengan satu kes yang pada mulanya melibatkan satu hantaran di Facebook, yang telah diselesaikan semalam. Hari ini, saya telah selesai memberi keterangan.
“Bagi kes ketiga, saya menjangkakan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi, beberapa saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya kepada pemberita selepas prosiding perbicaraan kes samannya terhadap Ahmad Dusuki di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Kes itu merupakan sebahagian daripada tiga saman fitnah yang difailkan Datuk Fahmi terhadap tiga individu berhubung dakwaan kononnya Menteri Komunikasi itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor pada tahun 2023.
Terdahulu, dua kes saman terhadap Mohd Fauzan Madzlan dan Wan Muhammad Azri Wan Deris telah diselesaikan semalam.
Sementara itu, Datuk Fahmi turut memaklumkan beliau menerima beberapa komen yang dibuat oleh Wan Azri di media sosial selepas kes kedua selesai.
“Ini agak merungsingkan dan saya terkejut dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat beliau. Saya telah mengumpul, dengan bantuan rakan-rakan, semua kandungan yang dimuat naik Encik Wan Azri di pelbagai platform. Kandungan tersebut telah saya serahkan kepada pasukan peguam untuk diteliti sama ada terdapat sebarang perkara yang melanggar keputusan yang dicapai semalam. Saya akan meminta pasukan peguam untuk menasihati langkah-langkah yang wajar dan boleh diambil selepas ini,” katanya.
Beliau berkata keputusan lanjut akan dibuat dalam masa terdekat berdasarkan nasihat pasukan peguamnya.