fb fb fb fb fb

Kes kematian kadet PALAPES: Polis perlukan masa, sebelum serah laporan kepada AGC

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail / BERNAMA

KOTA BHARU, 19 September - Laporan lengkap berhubung kes kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia, Syamsul Haris Shamsudin akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sedikit masa lagi.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, ketika ini siasatan sedang berjalan dan banyak aspek yang perlu disiasat kerana ia melibatkan banyak pihak dan agensi.

Pihak polis juga mahu satu tindakan yang lebih baik dalam proses siasatan agar ianya lebih sempurna.

"Banyak perkara yang perlu kita siasat. Insya-Allah kita dapat laksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke-17 bersempena peringatan Hari Polis ke-218 tahun 2025 di sini.

Terdahulu, media melaporkan keperluan inkues berkait kes kematian pegawai kadet PALAPES UTM, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, hanya akan diputuskan AGC selepas menerima laporan lengkap siasatan polis.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, setakat ini AGC belum menerima laporan itu daripada polis yang difahamkan masih lagi menunggu laporan penuh bedah siasat kedua daripada pihak hospital.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Mohd Khalid berkata, PDRM yakin aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand mampu dibanteras apabila kerja-kerja merobohkan pangkalan haram dilakukan tidak lama lagi.

Beliau berkata, PDRM turut memperkukuhkan kerjasama dengan semua agensi dalam usaha membanteras kegiatan haram itu.

Katanya, setakat ini penguatkuasaan oleh Polis Kelantan begitu ketat dan banyak isu-isu yang telah diselesaikan.

Sebanyak 212 pangkalan haram sepanjang Sungai Golok melibatkan daerah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli telah dikenal pasti untuk dirobohkan dalam operasi bersepadu agensi keselamatan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

MOHAMAD KHAIRIE KHALID