fb fb fb fb fb

Kerusi Parlimen Marang kekal milik Tan Sri Abdul Hadi Awang

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 15 November - Kerusi Parlimen Marang kekal milik Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman untuk membatalkan kemenangan Presiden Pas itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara memutuskan Jasmira gagal membuktikan petisyennya melampaui keraguan munasabah.

Jasmira selaku perayu diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Abdul Hadi selaku responden diwakili peguam Yusfarizal Yussoff.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu mengekalkan Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang selepas menolak petisyen yang difailkan Jasmira bagi membatalkan kemenangan Presiden Pas itu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, antara lain mendakwa Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri.

Perayu mendakwa perkara itu berlaku menerusi program i-pencen, i-Belia dan i-Siswa, pada 15 hingga 17 November 2022, iaitu beberapa hari menjelang PRU15.

Pada PRU15 lalu, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr. Zarawi Sulong.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN