fb fb fb fb fb

Kertas Putih KKM perlu diteruskan walau bertukar menteri -Khairy

(Khairy ketika berucap pada Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar
dan Generik Antarabangsa (IGBA)-Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI)


KUALA LUMPUR, 7 September- Kertas Putih Kementerian Kesihatan (KKM) akan diteruskan walaupun portfolio menteri bertukar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, walau beliau tidak lagi menjawat jawatan sama, kertas putih perlu diteruskan mengikut perancangan sedia ada.

"Bagi mana-mana kementerian sekalipun, seorang menteri mesti melaksanakan dan menyambung perancangan sedia ada.

"Kakitangan awam di KKM dilengkapi dengan pengalaman dan berupaya untuk bekerja ketika pertukaran kerajaan.

"Tetapi untuk tandatangan pada projek seperti Kertas Putih, kita perlu mendapatkan bantuan Majlis Penasihat.

"Pengurusan kanan di KKM juga akan memberi penerangan kepada menteri baharu untuk meneruskan semua perancangan sedia ada, itulah sebabnya saya mahukan ianya dibawa ke Parlimen supaya akan ada kesepakatan wlau siapa pun yang akan menggantikan saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA)-Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

(Khairy (tengah) merasmikan Persidangan IGBA-MOPI)

Sementara itu, Khairy berkata KKM akan membuat perolehan vaksin papilomavirus manusia (HPV) bagi meningkatkan kadar vaksinasi itu dalam kalangan pelajar perempuan.

Khaiy berkata perolehan itu dijangka dibuat hujung tahun ini dan pada awal tahun depan.

"Bagi program vaksin HPV sekolah, Malaysia agak ketinggalan disebabkan pandemik yang melanda.

"Berdasarkan data yang KKM ada pada 2020, seramai 209,279 iaitu 98.2 peratus pelajar perempuan Tingkatan 1, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin HPV dan seramai 206,042 atau 96.7 peratus sudah menerima dua dos vaksinasi dalam tahun berkenaan.

"Bagaimanapun pada 2021, hanya 34,933 atau 12.7 peratus pelajar perempuam Tingkatan 1 menerima dos pertama dan 31,708 atau 6.4 peratus menerima dos kedua," katanya.

Media Baharu