fb fb fb fb fb

Ibu Allahyarham Syamsul Haris fail notis kubur digali semula

Allahyarham Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor pada 29 Julai lalu.

KUALA LUMPUR, 15 Ogos - Ibu kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya untuk menjalankan bedah siasat kedua.

Berdasarkan notis usul yang diperoleh, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 tahun melalui Tetuan Naran Singh & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam menamakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden.

Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Ummu Haiman Bee mengesahkan pemfailan notis usul berkenaan.

Ummu Haiman Bee memohon perintah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan pihak-pihak berkaitan bagi mengarahkan untuk menggali keluar semula jasad Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.

Wanita itu turut memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat terhadap jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan peguam lantikan keluarga, Naran atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.

Beliau juga memohon perintah mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas siasatan daripada pegawai siasatan yang terkini dan menjalankan siasatan kes kematian si mati sepertimana yang dilakukan dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Turut dimohon perintah yang mengarahkan Peguam Negara menjalankan satu inkues bagi menyiasat punca kematian Syamsul Haris dan lain-lain perintah atau relif yang mahkamah anggap sesuai dan adil bagi tindakan itu.

Permohonan itu difailkan atas alasan bahawa bedah siasat pertama tidak dilakukan oleh pakar forensik hospital.

Selain mendakwa terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian Syamsul Haris apabila menerima pelbagai percanggahan pada alasan atau punca kematian anaknya.

Pada 13 Ogos lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Jawatankuasa Siasatan mendapati tiada unsur penderaan terhadap Syamsul Haris, yang meninggal dunia ketika mengikuti latihan di PULADA, Ulu Tiram pada 28 Julai lalu. - BERNAMA

JALALUDDIN BIN BAHARIN