PUTRAJAYA, 30 Mac-Kertas pembentangan kabinet berhubung hala tuju Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) akan dibentangkan April ini.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kementeriannya sedang dalam proses penyediaan kertas Kabinet tersebut.
Beliau berkata, proses itu perlu memandangkan projek itu sudah berjalan dua tahun dari tarikh mula diberikan kontrak iaitu pada Mac 2021 dan sepatutnya siap pada Ogos 2025.
"Sebagai Menteri, saya perlu untuk mendapat gambaran yang tepat supaya berlaku adil kepada semua, projek ini nilainya RM1.2 bilion," katanya pada majlis Sesi Dialog Bersama Media di Putrajaya semalam.
Tambah beliau, sebarang keputusan Kabinet berhubung NIISe untuk meneruskan atau membatalkan projek tersebut dianggap sebagai satu keputusan yang terbaik.
Sebelum ini, media melaporkan Kabinet telah memutuskan untuk membatalkan projek NIISe yang diberikan kepada IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Laporan berkenaan yang memetik sumber menyatakan bahawa projek itu mengalami kelewatan dan hanya 10 peratus daripada projek itu siap walaupun telah ditawarkan pada 2020.
Projek NIISe telah berjalan hampir dua tahun dan sepatutnya siap Ogos 2025.

(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/FOTO RTM)