fb fb fb fb fb

Kerjasama persekutuan–negeri penting tangani isu air dan banjir

KUALA LUMPUR, 2 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara Ke-7.

Mesyuarat tersebut merupakan platform tertinggi bagi menyelaras dasar serta hala tuju pengurusan air negara antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri.

Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata mesyuarat turut meneliti status semasa banjir yang sedang melanda beberapa negeri.

“Kesempatan ini saya gunakan bagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri, yang terus komited membantu rakyat yang terkesan dengan bencana.

“Hakikatnya, menghadapi bencana memerlukan sinergi dan iltizam yang padu antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. Justeru, kita akan terus memperkukuh kerjasama bagi merangka penyelesaian menyeluruh, termasuk memastikan pemantauan rapi dan pelaksanaan segera projek-projek tebatan banjir,” katanya.

Mengulas lanjut katanya mesyuarat juga diberikan taklimat terperinci mengenai status pengoperasian empangan serta pengurusan sumber air di seluruh negara.

Perkara tersebut amat penting bagi memastikan semua infrastruktur berada pada tahap optimum, selamat dan berdaya tahan.

"Insya-Allah, segala keputusan yang dipersetujui hari ini akan diterjemahkan kepada tindakan segera dan proaktif demi menjaga kebajikan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat," katanya lagi.

AZRUL FAIZAL JUSOH